PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) digesa tampil membantu puluhan pemilik rumah dan premis syarikat yang menjadi mangsa kepada pendawaian haram sindiket individu menjalankan kegiatan bitcoin dengan melakukan pendawaian secara haram.
Selain itu, ada segelintir juga menjadi mangsa kes curi identiti yang digunakan untuk mendaftar akaun TNB sebelum mendapat bil mencecah puluhan dan ratusan ribu.
Lebih mengecewakan dan mengundang kebimbangan apabila TNB yang diharapkan memberikan jalan penyelesaian pula hanya menyerahkan surat perundangan supaya bil tertunggak dengan jumlah besar dijelaskan mangsa dalam tempoh masa ditetapkan.
Mendedahkan perkara itu, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, beliau telah dikunjungi lebih 20 mangsa yang mendakwa telah menjadi mangsa kepada individu atau sindiket tidak bertanggungjawab kini berdepan dengan saman mahkamah.
Melalui siasatannya, terdapat lebih ramai lagi mangsa yang belum tampil dan datang berjumpa dengan beliau dengan anggaran kerugian terpaksa ditanggung mangsa mencecah hampir RM8 juta dengan jangkaan mangsa melebihi 40 orang.
Kata Chean Chung, ini bukan kerugian wang yang mangsa alamı sebaliknya tekanan perasaan selepas menerima surat undang-undang dan bil tertunggak atau notis bankrap atas nama mereka dengan jumlah begitu besar.
“Bayangkan apa yang mereka melalui, ada dua golongan. Satu rumah mereka tanpa pengetahuan dijadikan sebagai tempat pendawaian haram, satu lagi curi identiti. Kedua-dua ini tidak dilakukan oleh mangsa yang juga pelanggan TNB. Bagaimanapun hanya mahu salahkan satu pihak sahaja kemudian ambil tindakan?
“Tiba-tiba dapat surat ‘LOD’, dapat surat tuntutan kerugian bil mencecah ratusan ribu daripada TNB. Sememangnya mangsa-mangsa selepas menyedari ini berlaku, mereka membuat laporan dan cuba mencari penyelesaian namun TNB tidak membantu sebaliknya seolah-olah menyalahkan ‘sistem’.
“Kita mohon sangat-sangat kepada TNB untuk melakukan sesuatu, SOP yang sedia ada ini perlu diperbaiki. Banyak persoalan timbul termasuklah yang dipersoal, bagaimana biar bil tertunggak tidak dibayar selama beberapa tahun? Ada kes yang dari tahun 2019 hingga sekarang,” katanya dalam sidang di Pusat Khidmat Parlimen Petaling Jaya hari ini.
Kata Chean Chung, kes-kes yang dihadapi oleh mangsa-mangsa ini merupakan kes penganiayaan terutamanya apabila mereka tidak tahu langsung adanya aktiviti haram dilakukan dalam premis mereka sebaliknya ‘tiba-tiba’ perlu tanggung bayaran dituntut TNB.
“Ini tidak adil. Sebelum TNB diswastakan, ia adalah entiti kerajaan. Sepatutnya apabila kini bergelar korporat anda perlu lebih tahu dan tidak menekan rakyat mahupun undang-undang, anda perlu tengok merit kes mangsa sebelum ambil tindakan.
“Undang-undang yang sedia ini sudah lapuk, perlu ada pindaan Akta Bekalan Elektrik 1990 bagi memastikan tanggungjawab bersama antara pemilik rumah dengan penyewa terhadap penggunaan elektrik dan tidak hanya menyalahkan satu pihak sahaja dalam isu-isu seperti ini,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya akan membawa perkara ini ke Persidangan Dewan Rakyat pada Februari ini agar pindaan, penguatkuasaan dan naik taraf dapat dilaksanakan dengan kadar segera. -MalaysiaGazette