MELAKA – Dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal masing masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini har ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,500 pada Mei tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman terhadap Sarjan Zaini Abu, 59, dan Koperal Zulfiza Abas, 38, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pilihan, kedua-dua tertuduh didapati bersalah menerima wang tunai berjumlah RM2,500 agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki berusia 40 tahun, yang melindungi dua pekerja asing tanya izin (PATI).
Kesalahan itu dilakukan di kawasan Rehat dan Rawat Tol Jasin, pada jam 10.52 malam 13 Mei 2024.
Sabit kesalahan kedua-dua tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin itu boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada diri dan masyarakat.
Peguam, Mohd. Ishak Kari yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu hukuman yang ringan memandang anak guamnya, Sarjan Zaini akan bersara tahun depan dan masih menanggung dua anak yang masih belajar.
Seorang lagi anak guamnya, Koperal Zulfiza pula sedang menyara kedua-dua ibu bapa, seorang anak dan isteri yang menghidap penyakit sawan.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Elesabet menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 kepada setiap tertuduh dan penjara lima bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette