Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 15 OGOS 2023. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau cenderung sebagai ahli politik, bukan tokoh korporat berdasarkan pengalaman minimum dalam bidang tersebut.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau bukan pakar dalam bidang korporat kerana tidak terlibat secara penuh melainkan lebih kepada melaksanakan dasar kerajaan secara keseluruhan.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan menceburkan diri dalam bidang politik pada 1976, menggantikan arwah bapanya Tun Abdul Razak Hussein sebagai Ahli Parlimen Pekan, Pahang pada usia 23 tahun.

“Saya tidak benar-benar terlibat dalam bidang korporat secara langsung dan mempunyai pengalaman singkat dalam urus tadbir korporat.

“Saya cenderung sebagai ahli politik sepenuh masa dan berada dalam kerajaan kemudiannya,” ujar beliau menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan semula.

Perkara mengenai bidang koporat itu merupakan penyudah keterangan bela diri bekas Perdana Menteri selepas 26 hari dipanggil sebagai saksi pembelaan pertama (DW1) pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib mula membela diri pada 2 Disember tahun lalu dalam prosiding di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Istana Kehakiman pada 6 Januari lalu.

Najib, 71, menjawab empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Terdahulu, peguam itu bertanya kelayakan beliau dalam dunia korporat sebelum menjadi ahli politik sepenuh masa pada usia 23 tahun.

Pada prosiding semalam, Najib memberitahu mahkamah, pemilihan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Kewangan II pada 2016 adalah logik kerana pengalaman dan kepakarannya dalam bidang korporat.

Beliau dilaporkan menyedari hakikat Johari seorang tokoh korporat yang sangat berpengalaman serta terbabit dalam penstrukturan semula dan pemulihan syarikat, selain mempunyai pengalaman korporat yang luas.

Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan saksi pembelaan kedua (DW2) iaitu bekas Timbalan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Catherine Nicholas berhubung rekod rayuan berkaitan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dalam perbicaraan pemalsuan audit 1MDB.

Beliau yang kini bertugas di Shah Alam dipanggil untuk mengesahkan rekod rayuan yang mana perbicaraan sebelum itu didengar oleh Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding seterusnya, mahkamah dijadual mendengar keterangan 25 saksi pembelaan termasuk peguam dan individu yang terlibat dalam pertemuan dengan kerabat diraja Arab Saudi, Raja Abdullah bagi menyokong pembelaan Najib.

Perbicaraan bersambung 10 Februari ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here