JOHOR BAHRU – Seorang warga emas didenda RM1,600 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah menumbuk kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Cawangan Johor Bahru.
Tertuduh, Koh Soon Hua, 60, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Tertuduh yang tidak bekerja itu turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Soon Hua didakwa melakukan perbuatan tersebut di Puspakom Jalan Bertam, 81100 di sini pada pukul 5.40 petang, 18 November lalu telah sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Suzaini Mohd Talib.
Warga emas berkenaan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kejadian tersebut berlaku semasa Soon Hua didatangi seorang kakitangan Puspakom di cawangan tersebut dan memaklumkan lori yang dipandunya gagal menjalani pemeriksaan berkala.
ARTIKEL BERKAITAN
Keadaan itu membuatkan Soon Hua marah sebelum menumbuk bahagian telinga sebelah kiri kakitangan Puspakom tersebut sehingga bengkak.
Seorang rakan kakitangan Puspakom yang melihat kejadian tersebut datang melerai pergaduhan terbabit dan menenangkan Soon Hua.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu portal ini melaporkan, seorang lelaki bertindak menumbuk muka kakitangan Puspakom kerana dipercayai selepas lorinya gagal ujian brek ketika pemeriksaan berkala.
Kejadian tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis Puspakom di taman berkenaan sebelum tular dalam media sosial.
Susulan itu kakitangan Puspakom tersebut yang mengalami kecederaan di telinga membuat laporan polis pada 18 November lalu.
Laporan polis diterima daripada mangsa iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang juga kakitangan Puspakom terbabit.- MalaysiaGazette