Aliran trafik di Ainsdale, Lebuhraya Utara Selatan. Gambar Arkib MalaysiaGAzetet

NILAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Sembilan menasihatkan pengguna jalan raya lebih berwaspada di dua lokasi kawasan angin lintang di Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) yang berisiko mengakibatkan kemalangan.

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Penguasa Kanan Bomba II Mohamed Faiz Muin Mohamed Rasidi berkata, dua lokasi dalam jajaran negeri ini bermula di KM 222 sempadan Melaka hingga Hentian Senawang dan KM 267 Ainsdale hingga ke Seri Putera.

“Kedua-dua lokasi ini kawasan ‘hotspot’ kemalangan yang sering berlaku dan antara faktornya disebabkan angin lintang dan kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri.

“Oleh itu, pengguna perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada semasa pemanduan terutama ketika musim perayaan dengan jumlah kenderaan juga meningkat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Awam Musim Perayaan Op Raya Tahun Baharu Cina peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Faiz Muin berkata, seramai 150 anggota dan 26 jentera serta tiga van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) bersiap siaga sempena Op Siaga Raya yang bermula 28 Jan hingga 2 Feb.

Beliau berkata satu jentera turut diletakkan secara statik di Tol Pedas manakala Unit Rapid Intervention Motorcycle JBPM negeri akan melakukan rondaan secara berkala di kawasan lebuh raya hingga Nilai bagi memastikan keadaan terkawal.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung dan meninggalkan rumah bagi tempoh lama terutama pada musim perayaan supaya sentiasa peka serta menutup semua suis elektrik yang tidak digunakan.

“Sebelum meninggalkan rumah periksa apa-apa yang boleh menyebabkan kebakaran terutama suis punca kuasa seperti  lampu, kipas dan penapis air bagi memastikan rumah dalam keadaan selamat dan mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here