JOHOR BAHRU – “Saya terkilan kerana tidak peduli apabila sebuah kereta BMW berhenti pukul 2 petang depan sekolah kebangsaan tempat saya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Saya memang tidak syak apa-apa. Cuma, apabila beberapa kali saya dengar bunyi pedal minyak ditekan, saya tengok dari jauh, tetapi cermin kereta gelap, tidak nampak siapa dalam.
“Sehingga pukul 7 petang, saya tidak nampak sesiapa pun keluar dari kereta itu, tetapi enjin kereta masih hidup sehinggalah saya terkejut apabila pada sebelah malam, rakan sekerja beritahu ada ibu dan anak meninggal dunia dalam kereta berkenaan”.
Demikian cerita pengawal keselamatan di sebuah sekolah kebangsaan di Bandar Baru Uda di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 60, mengenai dua beranak yang maut dalam kereta di hadapan sekolah tersebut .
Semalam, portal ini melaporkan seorang ibu ditemui meninggal dunia bersama-sama anak perempuan bongsunya dalam kereta yang diparkir di tepi jalan hadapan sekolah berkenaan.
Perkongsian dalam Facebook memaklumkan dua beranak itu dikenali sebagai Nasran Azizah Ahmad, 44, dan Nur Myiesya Dhaneeya Mohamed Syakir, 14.
Difahamkan, jenazah ibu dan anak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini, kira-kira pukul 3 petang semalam, selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Bercerita lanjut, Ahmad meluahkan rasa terkilan kerana tidak cuba menghampiri dan melihat keadaan pemandu atau penumpang kereta BMW lebih awal sebelum dilaporkan dua beranak itu maut dalam kenderaan itu, malam semalam.
Ahmad berkata, ketika kereta itu diparkir di tepi jalan berkenaan pada pukul 2 petang kelmarin, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana setiap hari ada sahaja kereta yang berhenti di lokasi berkenaan.
Katanya, ketika dia tamat waktu bekerja pada pukul 7 petang, kereta berkenaan masih berada di lokasi sama dengan enjin yang masih hidup.
“Memang biasa ada kereta yang berhenti kejap di tepi jalan sama ada berhenti nak gunakan telefon bimbit atau ada yang periksa kereta rosak atau sebagainya. Jadi, apabila kereta BMW itu berhenti kira-kira pukul 2 petang, saya memang tidak syak apa-apa,” ujarnya.
Dia terkilan kerana pasti akan menghulurkan bantuan awal sebelum sebarang perkara buruk berlaku.
“Ini pertama kali perkara seumpama ini berlaku sejak saya bekerja di sini selama empat tahun.
“Masa dengar bunyi pedal minyak ditekan beberapa kali memang terfikir mungkin kereta itu rosak, tetapi biasa kalau kereta rosak, mesti pemandu akan turun kereta, jadi bila tiada siapa turun, saya ingat semuanya baik-baik sahaja,” katanya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat dua mangsa itu masih menunggu siasatan makmal (pending laboratory investigations) dan siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Bagaimanapun , beliau dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Pada masa sama, Balveer Singh menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes berkenaan.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai untuk membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil.
“Kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini untuk menyalurkan maklumat di talian 07-5563122 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Helmy Halim di talian 012-5759953,” jelasnya.- MalaysiaGazette