KLANG – Parti Amanah Negara (Amanah) menggelarkan Pas sebagai sebuah parti ekstrem yang membawa ideologi sekular kerana menghalalkan budaya fitnah dalam kalangan pemimpinnya.
Ketua Komunikasi Amanah, Khalid Samad membuat dakwaan tersebut apabila parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu dengan terang-terangan membela Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang didenda RM830,034 kerana memfitnah.
“Sekarang ini kita lihat Pas itu semakin jelas sebagai parti yang ekstrem yang membawa fatwa-fatwa yang songsang, saya merasakan semakin hari semakin nampak warna sebenar Pas.
“Bila pimpinan Pas diserang teruk kerana membawa budaya fitnah, mereka (membidas) mengeluarkan pula fatwa bahawa sekular itu lebih besar dosa dari fitnah maknanya memperlekehkan kesalahan fitnah itu.
“Dan tanpa disedari, dia sebenarnya mengamalkan politik sekular, apabila kamu memfitnah bererti kamu tak takut dosa dan bila kamu tak takut dosa dalam politik kamu, bererti kamu mengamalkan politik yang sekular dan kamu sanggup membuat apa sahaja untuk mencapai kemenangan,” tegasnya dalam sidang media selepas Konvensyen Tahunan Amanah 2024, hari ini.
Oleh itu, Khalid berkata Amanah adalah pilihan paling sesuai bagi ahli-ahli Pas kerana parti tersebut berpandukan politik yang berasaskan agama yang betul.
Tambah beliau, walaupun fatwa Pas seperti hendak menolak sekular tetapi dengan kata-kata itu, jelas parti tersebut membawa budaya politik sekular.
Dalam erti kata, Pas menghalalkan semua amalan yang dilakukan demi mendapat pengaruh politik dan sokongan .
“Oleh kerana itu, kita rasa masyarakat Melayu akan semakin menolak Pas dan bagi masyarakat Melayu yang inginkan politik yang berasaskan agama, yang dipandu agama maka Parti Amanah Negara adalah pilihan terbaik.
“Dan saya yakin bahawa sebelum PRU16 sokongan kepada Parti Amanah Negara akan semakin kukuh kerana semakin jelas pendirian Pas yang songsang dan memperalatkan agama demi kepentingan politik,” ujarnya lagi.
Khamis lalu, Siti Mastura berjaya menyelesaikan bayaran sebanyak RM830,034.75 merangkumi ganti rugi, kos guaman dan faedah kepada veteran dan pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok susulan kalah saman fitnah seperti diputuskan Mahkamah Tinggi, 4 Disember lalu.
Pembayaran dilakukan melalui cek ke akaun firma guaman yang mewakili ketiga-tiga plaintif, Datuk Sankara Narayanan Nair.
Mahkamah Tinggi pada 4 Disember tahun lalu memutuskan kenyataan Siti Mastura yang mengaitkan veteran serta pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok mempunyai pertalian dengan komunis dan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng sebagai fitnah dan tidak disokong bukti.
Mahkamah turut mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi RM300,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM250,000) dan RM200,000 kepada Teresa, selain menetapkan RM25,000 dibayar kepada setiap plaintif sebagai kos. – MalaysiaGazette