KUANTAN – Seorang lelaki orang asli disyaki lemas terjatuh daripada bot dinaikinya di Tasik Bera, Kemayan petang tadi.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 7.17 malam.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 46 tahun dipercayai bersama isteri dan seorang kanak-kanak perempuan menaiki bot tersebut untuk pulang ke rumahnya di seberang tasik itu.
“Lelaki itu bagaimanapun terjatuh dari bot ketika kejadian, manakala isteri dan anaknya terselamat,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Sejuru itu, Zulfadli berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dikejarkan ke lokasi.
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Bukit Angin juga telah diaktifkan untuk menjalankan misi pencarian di kawasan tasik itu. – MalaysiaGazette