KLANG – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan mengenai isu beras putih tempatan.
Mohamad berkata, pertemuan dengan Anwar itu akan dibuat pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat bulan depan.
“Kita tidak boleh mengumumkan semudah-mudah begitu sebelum melalui kajian yang teliti.
“Perbincangan dalam minggu pertama Parlimen, kena ikut masa Perdana Menteri, kami akan bincang dan sudah tentulah akan proses-proses yang ada,” katanya dalam sidang media sempena Konvensyen Tahunan Amanah 2024, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa Mohamad gagal menjalankan tugasnya dalam menyelesaikan isu beras putih tempatan yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.
Syed Abu Hussin juga mendakwa, Mohamad juga tidak bertanggungjawab untuk serius menangani isu keterjaminanan makanan itu untuk rakyat.
Mengulas lanjut perkara itu, Mohamad berkata, pihaknya hanya akan berbincang dengan Perdana Menteri, selaku pengerusi NACCOL
Malah segala persoalan mengenai isu beras putih tempatan akan turut dijawab di Dewan Rakyat nanti.
“Kita sedang membuat libat urus dengan lebih panjang dan semasa sidang Parlimen ini saya akan menjawab apa-apa pertanyaan yang timbul dan kita juga akan berbincang dengan Pengerusi NACCOL.
“Pengerusinya Pendana Menteri bukan yang diberitakan sekarang ni, kita akan bincang dengan Pengerusi NACCOL dan dengan petunjuk beliau, kita akan buat perubahan-perubahan,” katanya lagi.
Dalam sidang media pada Selasa lalu, Syed Abu Hussin turut mendakwa peranan Bahagian Kawal Selia Padi Dan Beras tidak berkesan dalam membantu menteri mencari penyelesaian dan hanya menjanjikan kajian demi kajian yang tidak ada kesudahannya.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut memberi amaran kepada Mohamad bahawa rakyat sedang menilai apa tindakan yang dilakukan kementerian sebelum ini. – MalaysiaGazette