KUALA LUMPUR – Pengeluaran udang galah merosot pada tahun lalu kepada 417 tan metrik dengan nilai RM22 juta berbanding 793.9 tan metrik pada tahun 2023 dengan nilai borong RM42 juta dan 625.3 tan metrik (RM30.8 juta) pada 2022.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berkata, walaupun terdapat sedikit penurunan namun pengeluaran udang galah terus memberikan sumbangan yang besar kepada sektor perikanan negara.
Menurutnya, negeri Pahang menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun dari 2021 hingga 2023 dengan mencatatkan 15.2 tan metrik (2021) dengan nilai borong RM1 juta.
Pada tahun berikutnya, 2022, pengeluaran meningkat kepada 19.8 tan metrik dengan nilai borong RM1.4 juta dan 74.3 tan metrik dengan nilai borong RM5.6 juta pada 2023.
Menurutnya, peningkatan nilai borong udang galah setiap tahun mencerminkan potensi besar produk ini sebagai komoditi eksport yang kompetitif di peringkat antarabangsa.
“Pengeluaran udang galah terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan pendapatan penternak dan nelayan darat, di samping menyokong kestabilan bekalan makanan tempatan.
“DOF kekal komited untuk memastikan kelestarian dan kualiti pengeluaran melalui pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan infrastruktur dan
penyelidikan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) bagi menghasilkan benih udang galah berkualiti tinggi dan bebas penyakit,” katanya di sini.
Sebagai sebahagian daripada usaha menangani cabaran seperti kekurangan bekalan benih berkualiti dan kos operasi yang tinggi, DOF telah melaksanakan Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur.
Selain itu, program pembiakbakaan induk udang galah yang bermula sejak tahun 2016 terus menunjukkan kejayaan dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran.
DOF juga telah melaksanakan program pelepasan lebih 21 juta ekor benih udang galah ke perairan sungai bernilai RM2.35 juta dari tahun 2021 hingga 2024.
Di negeri Pahang sahaja, sebanyak 1.7 juta ekor benih udang galah telah dilepaskan ke sungai-sungai utama sepanjang tempoh tersebut, memberikan manfaat besar kepada komuniti nelayan darat tempatan dan menyokong pemuliharaan ekosistem.
Dalam usaha melibatkan generasi muda, DOF menggalakkan penyertaan mereka melalui program Geran Agropreneur Muda (GAM) yang menawarkan sokongan kepada individu yang berminat menceburi bidang akuakultur.
Permohonan untuk GAM kini dibuka sepanjang tahun dan boleh dibuat secara atas talian melalui pautan https://app-egam.kpkm.gov.my/login. – MalaysiaGazette