KLANG – Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu akan hanya melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sekiranya mendapat arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lantaran itu, beliau menyifatkan kenyataan Mohamed Hanipa Maidin hanyalah bersifat peribadi semata-mata.
“Itu kalau Perdana Menteri suruh (letak jawatan), itu pandangan peribadi dia,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Pidato Presiden Amanah sempena Konvensyen Tahunan Amanah 2024, hari ini.
Turut hadir adalah Timbalan Presiden Amanah, Senator Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa; Ketua Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Khamis lalu, Hanipa Maidin yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, meminta Mohamad berundur sebagai menteri sekiranya kerajaan menghalang perhimpunan antirasuah hari ini.
Menurut Hanipa, beliau telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya sebagai peguam yang mewakili Mohamad yang pernah terlibat dalam perhimpunan aman sebelum ini.
Lantaran itu, katanya, adalah wajar bagi Mohamad meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya perhimpunan anjuran kumpulan mahasisiwa dihalang.
Malah Hanipa turut berkata sekiranya menerajui Amanah, beliau tidak akan teragak-agak untuk mendesak mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan.
Jelas Mohamad lagi, sebagai Presiden Amanah, beliau terbuka dengan kritikan berlandaskan kepada sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“Dia (Hanipa) bebas memberi pandangan dan itu dalam dunia demokrasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette