KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan, pengedaran dan penjualan arak yang tidak berkastam yang bergerak aktif di sekitar kawasan Sibu, Sarawak dengan penahanan dua lelaki tempatan dalam Op Taring Alpha 2 pada 20 Januari lalu.
Operasi itu disertai Wildlife Crime Bureau, Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam bersama pasukan polis marin wilayah 5, Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sibu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan telah dilaksanakan di dua premis dan mendapati terdapat aktiviti penyeludupan dan pengedaran minuman keras disyaki tidak bercukai Kastam.
Operasi tersebut telah berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berumur 32 tahun dan 41 tahun.
Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM15,147,936.40 merangkumi 17,100 karton minuman keras, dua buah forklift, tiga buah lori, sebuah kereta dan telefon bimbit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Azmi berkata, secara keseluruhan bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Januari 2025, PDRM berjaya melancarkan sebanyak 41 serbuan di seluruh negara dan menahan seramai 44 orang di atas pelbagai kesalahan yang melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar dan penjualan senjata tiruan.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM175,937,546.85. – MalaysiaGazette