KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) mengekalkan kedudukannya sebagai institusi terkemuka di Malaysia menerusi ranking terkini Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject, sekali gus mencatat sejarah dengan penyenaraian pertama bidang undang-undang dalam kumpulan 151–175 di peringkat global.
Lapan daripada 11 kategori bidang subjek di UM meraih kedudukan tertinggi di Malaysia.
Bidang -bidang subjek tersebut adalah seperti berikut:
• Perniagaan dan Ekonomi
• Perubatan dan Kesihatan
• Sains Komputer
• Pendidikan
• Kejuruteraan
• Sains Hayat
• Psikologi
• Sains Sosial
Di samping kecemerlangan dalam bidang-bidang subjek ini, UM turut mencatat peningkatan dalam ranking global untuk lima bidang subjek, mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi universiti terhadap kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi, dan pendidikan yang membawa perubahan besar.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan UM sebagai institusi terunggul di Malaysia, Asia, dan dunia, didorong oleh inovasi strategik, inklusif, serta usaha gigih dalam memperkasa ilmu dan kecemerlangan.
Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, pengiktirafan ini, khususnya pencapaian pertama dalam bidang undang-undang, adalah satu detik kebanggaan bagi UM yang melambangkan komitmen kukuh terhadap kualiti dan standard akademik bertaraf dunia.
Ia mencerminkan dedikasi UM dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia, memupuk kecemerlangan akademik, serta menyumbang secara signifikan kepada masyarakat dan dunia.
“Kejayaan ranking ini adalah bukti dedikasi dan usaha keras seluruh komuniti kampus, terutamanya bakat akademik dan penyelidikan kami, serta tenaga kerja bukan akademik yang telah bekerja tanpa mengenal lelah untuk mencapai Indikator Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan secara dalaman.
“Ini selaras dengan aspirasi utama kami untuk mencipta kejayaan baharu bagi dunia dan menyumbang kepada kemajuan tamadun,” kata Dr. Noor Azuan. – MalaysiaGazette