Ahmad Zahid bermesra dengan peserta yang dipilih mengikuti program rintis Sekolah Politik UMNO. Gambar: Facebook Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Seramai 50 orang peserta perintis dipilih untuk mengikuti program di Sekolah Politik UMNO sebagai permulaaan dalam melahirkan pemimpin masa depan yang bukan hanya memahami strategi dan selok-belok politik, tetapi menjiwai nilai perjuangan parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka akan melalui modul-modul latihan yang dirangka secara holistik, merangkumi aspek pemikiran kritis, kepimpinan strategik dan pemahaman mendalam terhadap perjuangan UMNO.

“Hari ini, saya telah melancarkan Sekolah Patriotik UMNO, sebuah institusi yang bukan sekadar wadah pembelajaran politik, tetapi medan untuk membentuk roh dan jiwa perjuangan dalam kalangan generasi muda.

“Kita mahu membina kepimpinan yang bukan sekadar mahir berpidato atau menguasai teori, tetapi benar-benar mempunyai daya juang, daya tahan dan daya saing yang tinggi, tanpa mengabaikan kesetiaan kepada agama, bangsa, dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, modul tersebut akan terus dikembangkan dan diperhalusi dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanannya dalam membentuk generasi pemimpin yang cerdas, berani dan berkeyakinan tinggi untuk menggalas tanggungjawab besar dalam meneruskan obor perjuangan parti.

“Saya percaya bahawa usaha ini adalah satu langkah strategik dalam memastikan UMNO terus relevan dan kekal sebagai tunjang politik negara.

“Anak muda hari ini tidak boleh hanya menjadi penonton dalam arena politik. Mereka perlu bangkit sebagai pemikir, perancang dan pelaksana yang mampu mencorakkan masa depan Malaysia,” tambahnya.

Katanya, melalui Sekolah Patriotik UMNO, parti itu membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi muda untuk menyumbang idea, berdiskusi secara terbuka serta menjalani latihan kepimpinan yang akan memperkasa keupayaan mereka sebagai pemimpin masa hadapan.

Beliau yakin dengan kesungguhan, disiplin dan semangat perjuangan yang tinggi, Sekolah Patriotik UMNO akan menjadi batu asas kepada kebangkitan generasi baharu yang akan membawa parti tersebut ke mercu kejayaan yang lebih gemilang.

Ahmad Zahid turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy serta seluruh pasukan yang telah berusaha memastikan kejayaan penubuhan Sekolah Patriotik UMNO itu.

“Semoga segala usaha yang dicurahkan diredhai Allah SWT dan membawa kejayaan dalam merealisasikan hasrat kita bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here