KOTA DAMANSARA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari mengingatkan tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baru Cina 2025.
Langkah ini sebahagian daripada usaha memastikan pengguna mendapat barangan keperluan pada harga yang berpatutan sepanjang musim perayaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, kawalan ini telah dikuatkuasa sejak 25 Januari lalu dan akan berlangsung selama sembilan hari sehingga 2 Februari akan datang.
“Sebagai contoh, harga maksimum ikan bawal putih ditetapkan pada RM42. Bagaimanapun, jika peniaga ingin menjual pada harga lebih rendah, seperti RM40 atau RM41, ini amat digalakkan dan dihargai.
“Kawalan ini bukan sekadar peraturan, tetapi bertujuan meringankan beban rakyat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri ‘walk about’ pemeriksaan SHMMP, di NSK Kota Damansara, Selangor hari ini.
Amiruddin turut memberi amaran kepada peniaga yang tidak mematuhi peraturan SHMMP, termasuk kegagalan mempamerkan tanda harga.
“Kesalahan seperti ini boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 bagi individu atau RM500,000 bagi syarikat.
“Pemeriksaan hari ini juga mendapati pasar raya NSK, yang merupakan rakan strategik baharu program ini, menunjukkan tahap pematuhan yang baik,” tambahnya.
Selain itu, program Jualan Rahmah Madani turut dilancarkan untuk membantu rakyat mendapatkan barangan dengan diskaun menarik.
Sebanyak lebih 1,600 jualan telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024, dan sasaran untuk tahun 2025 adalah 2,000 jualan di seluruh negara.
“Kami berharap peniaga lain turut mengambil inisiatif menjual barangan pada harga berpatutan, kerana ini memberi manfaat kepada pengguna dan merancakkan ekosistem perdagangan,” ujarnya.
KPDN Selangor akan terus menjalankan pemeriksaan berterusan bagi memastikan keberadaan bekalan dan pematuhan harga sepanjang musim perayaan. – MalaysiaGazette