Menteri Kesihatan merangkap Naib Presiden Parti Amanah Negarq (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap pada ucapan penggulungan Konvensyen Nasional 2024 Parti Amanah Negara (AMANAH) di KSL Esplanade, Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JANUARI 2025.

KLANG – Pembatalan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bukan keputusan ‘flip flop’, sebaliknya ia diputuskan mesyuarat Kabinet selepas berlaku kebocoran pekeliling sehingga mencetuskan pertikaian baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pembatalan WBB diputuskan demi memastikan libat urus dengan pelbagai pihak dapat dilakukan.

“Apabila pekeliling bocor, doktor lain seluruh negara tanya kenapa mereka tidak dilibat uruskan.

“Saya mengangkat perkara ini ke Kabinet. Setelah saya buat penerangan, Kabinet memutuskan sebaiknya saya batalkan dan teruskan dengan kajian untuk dapatkan pandangan daripada semua pihak.

“Bukan flip flop tapi satu ketegasan, saya akan libat urus secara sangat meluas,” kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu ketika menyampaikan ucapan Konvensyen Nasional 2024 hari ini.

Terdahulu ketika berucap, beliau menyifatkan kebocoran maklumat mengenainya WBB sebagai satu kesilapan yang akhirnya menjadi pertikaian.

“Itu puncanya WBB menjadi masalah, kerana mereka menuntut hak dilibatkan,” tambahnya.

Jumaat lalu, Dzulkefly berkata,  Jemaah Menteri  memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.

Beliau berkata, terma-terma rujukan jawatankuasa itu terkait pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penjadualan waktu kerja.

Sebelum ini, Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik balik pekeliling cadangan pelaksanaan WBB, iaitu sistem syif baharu untuk pekerja penjagaan kesihatan awam negara.

HDK menegaskan, pekeliling WBB harus ditarik balik serta-merta bagi mengelak kemerosotan moral dan kebajikan petugas kesihatan.

Selain itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan WBB yang didakwa akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada serta menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan, sekali gus menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here