KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bertekad mahu menoktahkan pakatan tamak kuasa di Pulau Pinang.
Ketua Penerangannya, Wendy Subramaniam menegaskan, parti itu percaya dengan sokongan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), Gerakan akan dapat memimpin PN Pulau Pinang ke arah kuasa pemerintahan di negeri tersebut.
Katanya, Gerakan mempunyai pengalaman luas dalam membangunkan Pulau Pinang dan pernah memberikan ruang politik yang sihat sepanjang memerintah negeri tersebut.
“Pas dan Bersatu memahami jasa tersebut dan memberi sokongan yang secukupnya kepada Gerakan mengetuai jentera negeri. Kini, MIPP (Parti Rakyat India Malaysia) dalam gelanggang bersama PN, dan kami berharap yang sama.
“Status quo applied (digunakan), Gerakan bersama Bersatu, Pas dan MIPP akan berusaha mewujudkan kerajaan rakyat untuk rakyat Pulau Pinang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wendy berkata, Gerakan mempunyai kompetensinya tersendiri dan sentiasa bersuara demi masyarakat Pulau Pinang.
“Cuba tanya balik masyarakat Cina di sana sekarang, terdapat sejumlah peratus yang berpendapat Gerakan mempunyai kompetensinya tersendiri dan sentiasa bersuara demi masyarakat Pulau Pinang.
“Cuba tengok pola keputusan PRK Dun Sg Bakap, baca surat khabar Cina, fahami mengapa adanya pergerakan yang berpendapat politik Gerakan lebih bersih daripada politik DAP yang kini dilanda banjir politik nepotisme.
“Rakyat Pulau Pinang, tak kira Cina ke, Melayu ke, India ke; mereka semua adalah sama, tiada selektif, kesemuanya utama. Kita dalam PN akan mendekati mereka. Tak kira anda sokong kita atau tidak,” katanya yang mengulas sokongan Cina terhadap parti itu di Pulau Pinang.
Tambah beliau, Gerakan tidak akan memfokuskan isu agama ataupun etnik, yang sudah letih dibincangkan oleh rakyat.
Sebaliknya, beliau mahu memberikan tumpuan pada isu ekonomi dan kos sara hidup, pendidikan berkualiti untuk semua, kesihatan serta ketelusan kerajaaan dan akan terus fokus pada keharmonian budaya, transformasi digital, keselamatan termasuk keamanan serta memperkasa orang muda dan peluang pekerjaan.
“Gerakan kekal dalam pendirian bahawa sokongan kepada parti kami melangkaui batas perkauman dan tidak berpaksikan kaum serta agama tertentu.
“Gerakan juga tidak akan tunduk kepada propaganda pihak tertentu yang melabelkan kami parti Cina. Kita mempunyai perwakilan semua kaum dan kami sentiasa menekankan agenda ‘bangsa Malaysia’.
“Gerakan juga mengingatkan semua bahawa untuk bergerak ke hadapan, kita perlukan pendekatan komprehensif dengan menolak ‘identity supremacy’,” katanya. –MalaysiaGazette