Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada ucapan penggulungan Konvensyen Nasional 2024 Parti Amanah Negara (AMANAH) di KSL Esplanade, Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JANUARI 2025.

KLANG – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu tidak menghalang tindakan kumpulan pesawah yang ingin ke Putrajaya esok.

Katanya, kementerian itu terbuka dengan kritikan dan sentiasa bersedia untuk membuat penambahbaikan selaras dengan perbincangan dengan semua pihak secara konsisten.

“Tidak apa itu hak mereka untuk hantar memorandum dan sebagainya dan kita akan ikuti dengan perbincangan-perbincangan secara intensif  dengan semua pihak, hingga sidang Parlimen akan datang kita akan buat beberapa pengumuman,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), di sini.

Difahamkan seramai 1,000 pesawah akan berkumpul di hadapan Pejabat Perdana Menteri (PMO) esok menuntut supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan menaikkan harga lantai padi.

Dalam masa yang sama, kumpulan tersebut dikatakan akan menggesa kerajaan tidak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Benih Tanaman.

Semalam Mohamad berkata, kerajaan kini sedang mengenal pasti situasi menang-menang membabitkan semua pihak berhubung isu bekalan beras putih tempatan dan harga belian padi.

Ujarnya, beliau akan menjawab semua isu berkaitan pada sesi sidang Parlimen akan datang.

Mengulas lanjut katanya, pada sidang akan datang kementerian akan membuat beberapa pengumuman.

“Pengarah bahagian padi dan Ketua Setiausaha sedang berbincang termasuk dengan Bernas dan sebagainya  untuk kita buat beberapa penambahbaikan dan peningkatan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here