KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) dan Zus Coffee meneruskan program Jelajah Peduli Ummah dengan kali ini mengunjungi golongan asnaf dan keluarga kurang bernasib baik di Taman Nirwana, Ampang.
Mapim dalam kenyataannya memaklumkan, ia merupakan usaha berterusan Zus Coffee dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.
Katanya, program itu telah memasuki bulan keempat penganjurannya meliputi lapan negeri di seluruh negara.
“Dengan setiap siri program, Zus Coffee bersama Mapim Malaysia berjaya mendekati pelbagai lapisan masyarakat, menyampaikan bantuan yang bersasar, dan memberikan impak yang signifikan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Menurut Mapim, melalui siri jelajah itu, Zus Coffee memfokuskan bantuan secara langsung kepada komuniti setempat dengan mengagihkan kotak bantuan yang mengandungi barang keperluan asas kepada 100 keluarga asnaf dan golongan yang memerlukan dari pelbagai kaum.
Lebih lima buah rumah telah diziarahi bagi diedarkan kotak bantuan ketika menyantuni mereka.
Malah, salah seorang penerima bantuan merupakan sebuah keluarga yang sedang menghadapi cabaran besar apabila diuji menjaga anak yang menghidap leukemia.
Selain itu katanya, program berkenaan turut menampilkan inisiatif Mobile Kitchen yang menyediakan hidangan panas dan minuman kepada masyarakat, khususnya semasa program berlangsung.
Pendekatan tersebut bertujuan mewujudkan suasana mesra dan meningkatkan interaksi bersama komuniti setempat.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama dalam siri jelajah, Program Wanita Tunggak Ekonomi Keluarga turut dianjurkan dengan penglibatan strategik Pejabat Parlimen Pandan, ZUS Coffee, MAPIM Malaysia dan pelbagai pihak daripada persatuan penduduk.
Program tersebut merangkumi pelbagai aktiviti utama, termasuk kaunter aduan bergerak yang dikendalikan oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Program itu juga menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma yang dijalankan oleh Mobile Clinic MAIWP-Mapim, Jualan Rahmah serta pertandingan memasak.
Kesemua aktiviti tersebut direka untuk memupuk interaksi sosial, memperkukuh jaringan komuniti, dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu tempatan. – MalaysiaGazette