TEMERLOH – Pelatih kecergasan, Jey Prabakaran Kunasigaran sekali lagi akan mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) di Jerantut melalui tiga kategori kecergasan.
Atlet berusia 28 tahun itu akan berksi bagi kategori ‘Ulangan Lompat Bintang Terbanyak dalam Sehari’, ‘Ulangan Regangan Kaki Terbanyak dalam Sehari’ dan ‘Ulangan Squat Terbanyak dalam Sehari’ pada 8 Mac ini.
Menurutnya, percubaan rekod itu dijangka menarik perhatian peminat kecergasan terutamanya yang ingin menyaksikan daya tahan luar biasa dan semangat juangnya.
“Percubaan ini bukan sekadar cabaran peribadi, tetapi simbol bahawa had hanya wujud dalam minda kita.
“Melalui kerja keras dan ketabahan, kita mampu mengatasi segala halangan dan mencapai sesuatu yang luar biasa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Anak jati Kuala Lipis, Pahang itu bukan nama baharu dalam dunia kecergasan dan ketahanan.
Pada 2023 Jey mencatat rekod dunia dan kebangsaan untuk 12 jam senaman kardio dan angkat berat tanpa henti.
Selain itu beliau memegang rekod Asia untuk 13 jam senaman kardio dan angkat berat tanpa henti pada 2024 dan rekod Dunia dan Kebangsaan untuk 15 jam senaman kardio dan angkat berat tanpa henti pada 2024. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Dr. Kjey pecah rekod dunia dengan menu diet disediakan ibu