Azli Yusof

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicadang supaya memberi keutamaan kepada pendidikan nilai dan pembinaan tamadun dalam silibus sekolah rendah.

Ia bertujuan untuk mendidik murid mengenai pentingnya adab, integriti, dan tanggungjawab sosial sebagai asas pembentukan masyarakat yang bertamadun, kata Pengerusi Biro Pendidikan Dan Perubahan Masyarakat, Parti Amanah Negara, Azli Yusof.

Menurutnya, silibus “Tata Rakyat” yang pernah diperkenalkan dalam sistem pendidikan terdahulu, perlu dihidupkan semula dan disesuaikan dengan keperluan masa kini.

“Pendekatan ini berkesan dalam mendidik murid tentang nilai hormat-menghormati, semangat bermasyarakat, perpaduan dan cintakan negara.

“Amanah mencadangkan agar pendidikan nilai turut menerapkan nilai teras parti, iaitu rahmah, amanah, hikmah, muafakat, adil, dan hormat. Nilai-nilai ini menjadi asas penting dalam pembinaan masyarakat yang berintegriti dan harmoni,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, rahmah menekankan belas kasihan, amanah menggalakkan kepercayaan dan tanggungjawab, hikmah menyanjung kebijaksanaan, muafakat menekankan semangat kesepakatan, adil menegakkan keadilan, manakala hormat mengukuhkan hubungan sosial yang baik.

Jelasnya, pendidikan nilai yang terancang boleh menjadi langkah pencegahan berkesan untuk menangani isu semasa seperti buli, keganasan dan sikap tidak hormat yang semakin kerap berlaku di sekolah dan komuniti.

Usaha itu kata beliau, selaras dengan visi Malaysia Madani yang menekankan pembangunan masyarakat yang inklusif, berdaya tahan dan harmoni.

“Pendidikan nilai menjadi asas kepada pembentukan generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik tetapi juga memiliki moral yang tinggi.

“Amanah komited untuk memperjuangkan pendidikan nilai sebagai agenda utama dalam pembangunan negara.

“Kami percaya bahawa pendidikan yang holistik adalah kunci kepada pembentukan masyarakat yang adil, bermoral dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Azli menerusi kenyataan sama berkata, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen Nasional 2024 semalam menegaskan beliau telah menekankan peri pentingnya pendidikan sebagai asas kepada pembinaan masyarakat yang berakhlak, bertamadun dan sejahtera.

Katanya¸ Mohammad menegaskan kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi tanpa disertai nilai moral yang tinggi.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar pendidikan nilai dijadikan agenda utama bagi melahirkan generasi Malaysia yang berintegriti, inklusif dan progresif.

Tambahnya, ucapan Mohamed itu menjadi panduan penting untuk memastikan sistem pendidikan negara bukan sahaja melahirkan individu yang cemerlang secara akademik, tetapi juga insan yang menyumbang kepada keharmonian dan kemajuan masyarakat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here