BERA – Mayat lelaki orang asli yang terjatuh dari bot dinaikinya di Tasik Bera, Kemayan petang semalam ditemukan lemas jam 10 pagi tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Tok Muda Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menemui mayat mangsa, Sabri Juaram, 49, selepas menyelam pada kedalaman dua meter.
”Operasi pencarian hari kedua dimulakan melibatkan 34 orang anggota dan pegawai dari Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).Pencarian dimulakan sejauh 5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai jatuh.
”Operasi SAR juga dipecahkan kepada tiga sektor pencarian iaitu sektor pertama oleh PDRM mencari di bahagian muara sungai, sektor kedua oleh Bomba dan sektor ketiga oleh APM mencari mangsa ke arah hulu sungai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kejadian itu berlaku semasa mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah menaiki bot bersama isteri dan anak perempuan berusia 10 tahun dari pengkalan Kampung Putat ke Kampung Benal Pos Iskandar.
Namun kira-kira tiga kilometer (km) sebelum sampai ke Kampung Benal, tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam tasik, tidak timbul dan terus tenggelam dalam kejadian 6.30 petang.
Difahamkan mereka suami isteri selalu berulang-alik dari Kampung Putat ke Kampung Benal menaiki bot.
Isteri mangsa berusia 43 tahun memberitahu, suaminya tidak pandai berenang dan menghubungi talian 999 bagi mendapatkan bantuan. – MalaysiaGazette
Lelaki orang asli disyaki lemas jatuh bot ketika menyeberang Tasik Bera