Dadah yang ditemui maritim di muara Sungai Rambah.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menggagalkan cubaan menyeludupan dadah bernilai RM360,000 ke negara jiran di muara Sungai Rambah, Pontian, lewat pagi semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, pihaknya mengesan sebuah bot fiber berwarna biru mencurigakan pada sekitar jam 1.15 pagi semalam di kedudukan 0.5 batu nautika barat laut muara Sungai Rambah.

Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, bot fiber tersebut menuju ke perairan cetek dan kelihatan seorang suspek melarikan diri ke dalam paya bakau meninggalkan bot fiber terbabit.

Ekoran perairan yang cetek, anggota Maritim Malaysia terpaksa memohon bantuan bot Maritim Malaysia yang bersesuaian bagi mengambil dan membawa bot fiber yang ditinggalkan tersebut bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai sebuah beg galas hitam yang mengandungi lima bungkusan dadah seberat lima kilogram disyaki syabu serta satu bungkusan pil seberat 1.2 kilogram disyaki pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM360,000. Turut dijumpai sebuah telefon bimbit dan plastik bungkusan teh cina yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bot fiber berserta enjin dan dadah tersebut telah dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Maritim Malaysia Negeri Johor akan meningkatkan rondaan dan pengawasan di kawasan titik panas bagi terus mengekang dan mencegah sebarang penyeludupan barang terlarang termasuk dadah berbahaya sama ada keluar atau masuk ke negeri Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here