KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Maya Karin melakar sejarah dalam karier seninya apabila dinobatkan penerima Anugerah Usahawan Madani oleh Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM), baru-baru ini.
Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, 45, berkata, anugerah diterimanya berdasarkan pencapaian menerusi perniagaan produk wangian yang diceburinya menerusi jenama By Maya Karin.
“Saya terharu apabila menerima anugerah bersempena sumbangan dalam industri seni dan perniagaan di mana saya sangat bekerja keras untuk industri kreatif.
“Sudah tentu pengiktirafan itu bagus buat kita dan anugerah ini pastinya istimewa buat saya,” kata pemenang Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 dalam filem Anak Halal.
Maya juga menceburi bidang bisnes apabila menghasilkan produk wangian By Maya Karin sejak 2023.
Tahun ini, dia bakal kembali ke layar perak apabila dua filemnya akan menemui penonton iaitu Telaga Suriram arahan Osman Ali bersama pelakon seperti Farid Kamil, Nabila Huda dan Scha Alyahya.
Filem lain adalah Duyung: Legenda Aurora yang turut mengembalikan barisan pelakon-pelakon asal seperti Saiful Apek dan Yasmin Hani.
Sementara itu, Anugerah Usahawan Madani 2024 merupakan acara yang meraikan 60 tokoh keusahawanan negara daripada pelbagai bidang anjuran DPDDM dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Beberapa artis turut menerima Anugerah Usahawan Madani & Selebriti Negara antaranya penerima Anugerah Madani dan Selebriti Negara antaranya Datuk Ifa Raziah, Datuk N.D.Lala, Poey Sting, Keena Mentor, Halim Othman, Datuk Ayu Putih, Nazeera Sardi, Datuk Malek Reduan dan Datin Ira Ghani.
Turut hadir, Penasihat Korporat DPDDM, Tan Sri Syed Mohd Yusuf Tun Syed Nasir
Presiden DPDDM, Datuk Seri Nor Hasnal Hashmi berkata, Anugerah Usahawan Madani adalah inisiatif pertama bersama INSKEN yang bertujuan untuk merapatkan hubungan antara usahawan-usahawan di seluruh negara.
Menurut beliau, anugerah itu diberikan berdasarkan kapasiti dan pencapaian sepanjang tahun 2024. Ia merangkumi pelbagai kepakaran, daripada golongan profesional sehingga separa mahir, untuk memberikan galakan dan inspirasi kepada generasi baru.
“DPDDM menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan dalam tempoh enam bulan akan datang melalui pelbagai kaedah dan platform yang telah dirancang,” katanya. – MalaysiaGazette