Sim Chon Siang ketika melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 di Kuantan hari ini

KUANTAN – Para pengguna dinasihatkan agar memastikan barang timbangan yang tepat bagi mengelakkan kerugian ketika membeli barang bagi keadilan kedua-dua pihak kepada pembeli dan peniaga.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang berkata, tinjauan yang dilakukan di beberapa buah kedai mendapati pengguna mahupun peniaga kurang menitikberatkan aspek timbangan barang.

“Pengguna kena pastikan cukup timbang ke tak cukup timbang. Pengguna berhak siasat dan benda yang dia beli, baru adil.

“Antara barangan ialah bawang besar, bawang kecil, ubi kentang dan bawang putih ada yang ditimbang lebih ada yang tidak cukup,” katanya ketika ditemui membuat tinjauan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang di Aeon Big East Coast Mall, di sini bagi memantau harga sempena pelaksanaan SHMMP TBC 2025 hari ini.

Chon Siang berkata, seramai 163  pegawai KPDN turun padang betugas sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 berkuat kuasa pada 25 Januari hingga 2 Februari 2025.

Tambahnya, kerajaan sangat prihatin dan komited dalam menangani kos sara hidup serta kenaikan harga barangan.

Disebabkan itu, pihak KPDN sentiasa berusaha untuk menstabilkan harga barangan keperluan, terutamanya semasa musim perayaan terutama sambutan Tahun Baharu Cina 2025.

Pelaksanaan SHMMP ini juga merupakan langkah kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, baik di bandar mahupun luar bandar.

“Kerjasama pihak pasar raya yang menjual barangan kawalan di bawah harga maksimum menunjukkan keprihatinan dan kebersamaan untuk memastikan pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan.

“Pendekatan ini selaras dengan hasrat Kerajaan Madani, yang mana para peniaga digalakkan untuk menjual barangan pada harga lebih rendah daripada harga maksimum,” katanya.

Tempoh pelaksanaan SHMMP TBC 2025 adalah selama 9 hari, iaitu 4 hari sebelum hari perayaan, sehari pada hari perayaan dan empat hari selepas hari perayaan membabitkan 16 jenis barangan keperluan utama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here