Tan Sri Razarudin Husain

KUALA KUMPUR – Polis akan memastikan lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto esok bebas daripada ancaman berikutan rancangan 1,000 pesawah berkumpul di hadapan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Berikutan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan kunjungan 1,000 pesawah di hadapan bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada jam 10 pagi esok.

Berikutan itu, beliau menasihati mereka supaya memilih tarikh dan waktu berlainan bagi penyelarasan tugas dan aturan keselamatan yang lebih sempurna dalam menjamin keselamatan Presiden itu sentiasa berada pada tahap tertinggi.

“Seperti mana semua sedia maklum, tarikh dan waktu tersebut bertindih dengan lawatan rasmi Presiden Republik Indonesia, Probowo Subianto ke Malaysia khususnya Putrajaya.

“Nasihat ini adalah untuk mengelakkan segala kesulitan kepada para peserta 1,000 pesawah dan pandangan negatif terhadap PDRM sekiranya para peserta terpaksa melalui prosedur keselamatan yang ketat kerana lawatan Presiden Indonesia ini mendapat status tetamu negara dengan kawalan keselamatan dipertingkatkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kumpulan tersebut dikatakan akan menuntut supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan untuk menaikkan harga lantai padi selain menggesa kerajaan supaya tidak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Benih Tanaman.

Menurut Kementerian Luar, Prabowo Subianto mengadakan lawatan ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Razarudin berkata, aturan keselamatan itu selari dengan tanggungjawab polis di bawah Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 bagi memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan negara. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here