KUALA LUMPUR – Bintang muda muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar melaungkan amaran akan kembali bangkit selepas tewas menerusi keputusan sebulat suara kepada Johan Estupinan pada saingan ONE Championship 170 di Thailand malam kelmarin.
Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Jojo Johan menganggap kekalahan itu sebagai satu halangan kecil dalam kariernya dan dia yang mewakili Rentap Muay Thai Gym melaungkan keazaman untuk kembali dengan lebih kuat pada masa akan datang.
Jojo berkata, dia sudah memberikan aksi terbaik pada pertarungan muay thai kategori flyweight itu, membuatkan petarung dari Colombia tersebut tidak senang duduk.
“Alhamdulillah, hanya halangan kecil dalam perjalanan saya. Saya akan kembali. Terima kasih semua atas sokongan yang diberikan,” tulisnya menerusi hantaran dimuat naik di laman Instagram.
Kemudian, Estupinan yang terkenal dengan julukan ‘Panda Kick’ mendominasi pusingan kedua apabila melakukan asakan bertalu-talu menyebabkan petarung berusia 19 tahun itu terjatuh.
“Saya sudah buat yang terbaik dan tidak mahu berikan sebarang alasan, kita buat lagi pada pertarungan akan datang. Agi idup agi ngelaban, selagi hidup selagi itu aku berlawan,” ujar Johan.
Keputusan itu menyaksikan Estupinan terus gah dengan aksi tanpa kalah apabila melebarkan rekod kepada 27-0 selain mencatat kemenangan kelima berturut-turut di pentas ONE Championship. – MalaysiaGazette