Pelakon dan pelawak yang dikenali sebagai Along Cham dibawa masuk ke bilik tahanan untuk didakwa atas kesalahan berkaitan memiliki dadah di Mahkamah Majistret Sepang. Foto SADIQ SANI, 20 DISEMBER 2024 (GAMBAR FAIL)

SEPANG – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA), pelakon dan pelawak Along Cham daripada pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis.

Sejurus keputusan itu, tertuduh melakukan sujud syukur sebelum dibawa ke Mahkamah Majisret untuk didakwa atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah ke tubuhnya.

Mahkamah Majistret kemudian membenarkan Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, diikat jamin berjumlah RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan. Tertuduh sebelum ini tidak diberikan jaminan.

Ketika di Mahkamah Sesyen, Hakim Ahmad Fuad Othman melepas tanpa membebaskan Along Cham selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya memaklumkan, pihak pendakwaan sudah menerima laporan kimia berkaitan kes berkenaan.

Beliau memohon pertuduhan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 diberikan perintah DNAA dan tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dituduh atas Seksyen 39A(1) ADB 1952.

“Saya mohon pertuduhan memiliki dadah diberikan perintah DNAA dan tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dituduh di bawah seksyen berlainan,” ujar Nurul Faraheen.

Di Mahkamah Majistret, Along kemudian mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis kanabis dan memasukkan dadah ke badannya.

Majistret Muhamad Bukhori Md. Ruslan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 untuk pertuduhan pertama dan RM1,500 untuk pertuduhan kedua.

Mahkamah menetapkan 7 April ini untuk sebutan kes.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Husain mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Kamal Hisham Jaafar yang mewakili tertuduh, merayu kadar itu dikurangkan.

“Dia mempunyai ketumbuhan di leher yang memerlukan rawatan berkala serta menanggung anak berusia 14 tahun selain ibunya yang berusia 64 tahun mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, pelawak itu didakwa dalam milikannya bahan berbahaya jenis kanabis seberat 49.61 gram di sebuah rumah di Cyberjaya, di sini, pukul 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39(a)(1) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC), di lokasi sama pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dibaca bersama 38B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Pada 20 Disember tahun lalu, Along didakwa memiliki kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya, dekat sini pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan sebat maksimum 10 sebatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast