KUANTAN – Penubuhan Akademi Rel Pahang (ARP) tidak lama lagi akan memanfaatkan golongan belia terutama anak jati di negeri ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim berkata, ARP bakal menjadi sebuah institusi menyediakan latihan dan pembangunan tenaga kerja untuk industri rel di sini.
ARP menawarkan program latihan seperti operasi rel, penyelenggaraan, kejuruteraan rel dan keselamatan rel di mana sesi pengambilan pelajar dijangka bermula pada suku pertama tahun 2025.
“ARP mensasarkan kira-kira 200 pelajar bagi setiap pengambilan, memberi keutamaan kepada anak-anak muda Pahang. Pelatih ARP dijamin akan diberi peluang pekerjaan selepas tamat latihan, selari dengan pembukaan operasi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kelak.
“Terima kasih Tok Wan (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail), yang terus memberi ruang kepada golongan muda di Pahang ini dalam sama-sama membangunkan negeri yang disayangi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Kamil, dengan penubuhan ARP dapat membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda tempatan untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Ia sekali gus bagi memastikan kesinambungan tenaga kerja mahir dalam industri rel yang kian berkembang dalam negara.
Beliau berharap anak-anak Pahang akan menjadi nadi pengerak utama kepada industri tersebut dengan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk merealisasikan penubuhan ARP oleh kerajaan negeri.
Baru-baru ini mereka melakukan kunjung hormat ke Pejabat Malaysia Rail Development Corporation (MRDC) bersama pihak UCYP University (UCYP) dan Ecorad Capital Berhad (ERCB) bagi membincangkan kerjasama strategik dan mengukuhkan pembangunan Akademi Rel Pahang (ARP). – MalaysiaGazette