KUALA LUMPUR – MMAG Holdings Bhd membeli pesawat Boeing B737-400SF kedua dengan harga US$6.55 juta (RM29.12 juta) bagi perniagaan pengangkutan udaranya.
MMAG Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, bagi tujuan itu, anak syarikatnya MJets Air Sdn Bhd memeterai perjanjian jualan ansuran dengan penjual yang berpangkalan di Jepun JPA No. 161 Co Ltd (JPA).
Perjanjian untuk pesawat pengangkut yang telah diubah suai dan kini disewa serta dioperasikan oleh MJets Air, dimuktamadkan pada 24 Jan, 2025.
JPA merupakan anak syarikat sepenuhnya milik JP Lease Products & Services Co Ltd (JLPS), satu daripada pengatur sewa cukai bebas terbesar di pasaran Jepun.
Pada 24 Dis, 2024, MJets membeli dan menerima penghantaran hasil pembelian pertamanya, juga sebuah Boeing B737-400SF daripada JPA.
MMAG berkata menerusi pembelian kedua ini, daripada meneruskan dengan sewaan, ia selaras dengan strategi syarikat untuk mengoptimumkan keupayaan penghantaran udara, merasionalisasikan operasi di seluruh rantaian bekalan dan mengurangkan pergantungan kepada penyewa pihak ketiga.
“Pembelian ini akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan hasil daripada sekuriti boleh tukar.
“Perjanjian ini dijangka diselesaikan pada suku pertama 2027 dan MMAG optimis mengenai pemilikan pesawat ini yang akan mengukuhkan daya saing pasarannya serta memberi sumbangan positif kepada kecekapan operasi kumpulan serta nilai jangka panjang,” katanya.
— BERNAMA