KUALA LUMPUR – Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengendali air Johor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu melibatkan pembayaran berjumlah RM3.38 juta bagi penganjuran dua program kebajikan yang tidak wujud tahun lalu.
Muhamad Faizal Aliar, 39, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Bagi pertuduhan pertama, Muhamad Faizal didakwa memperdaya syarikat tersebut, Ranhill SAJ Sdn. Bhd. untuk menderma RM82,500 bagi ‘Program Imarah Ramadan 2023’ walhal program itu tidak dilaksanakan.
Menurut pertuduhan, dia didakwa menulis surat meminta sumbangan daripada Ranhill SAJ pada 1 April 2023 sehingga mendorong syarikat itu memindahkan dana tersebut ke akaun bank yang didakwa milik Pertubuhan Inspirasi Prihatin Malaysia.
Muhamad Faizal turut didakwa memperdaya syarikat sama sehingga menyalurkan RM3.3 juta untuk ‘Program Prihatin Komuniti Madani 2023’ ke akaun bank yang sama berdasarkan surat yang dihantarnya pada 4 April 2023.
Pertuduhan pertama dan kedua masing-masing dilakukan pada 13 April dan 14 April 2023 di Menara Felda Platinum Park di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RMRM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan kes disebut pada 3 Mac.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon mahkamah menetapkan jaminan RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam Preakas Sampunathan memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan atas alasan anak guamnya bekerjasama dengan pihak berkuasa ketika siasatan dijalankan.
Hujah peguam, anak guamnya sedang menjalani rawatan di Hospital Bukit Tinggi kerana kecederaan saraf tunjang manakala dua daripada empat anaknya merupakan anak-anak-anak istimewa. – MalaysiaGazette