Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat konsesi lebuhraya, Rostam Shahrif Tami, 59 keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM70,000 berhubung Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi - Ulu Kelang (SUKE) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Operasi (COO),  Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas), Ir. Rostam Shahrif Tami mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM70,000 berkaitan Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE).

Rostam, 59, didakwa menerima suapan daripada syarikat Satunas Technologies Sdn. Bhd. melalui seorang individu sebagai upah kepadanya yang ketika itu merupakan Wakil Pegawai Penguasa bagi projek tersebut.

Menurut pertuduhan, Rostam didakwa memberikan kepada syarikat berkenaan pakej kerja No. 3 bertajuk `To Construct End Cap Stressing And Shear Block’ dan `To Install Expension Joint Including Hacking, Grouting and Nosing’.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 12 April 2023 di hadapan tempat letak kereta sebuah masjid di sini.

Rostam didakwa mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan agar melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan manakala pasport ditahan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan kes dan tertuduh diikat jamin oleh rakannya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa turut memohon satu lagi syarat tambahan supaya tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan hingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mewakili Rostam berhujah, pihak pembelaan tiada bantahan terhadap dua syarat tambahan kecuali isu kacau ganggu saksi pendakwaan.

Beliau yang hadir bersama-sama peguam Ridha Abdah Subri berhujah, syarat ketiga itu tidak perlu dikenakan terhadap anak guam mereka kerana yakin tertuduh tidak akan mengganggu saksi-saksi berkenaan.

Menurut Dzulkifli, Rostam difahamkan akan didakwa atas dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, esok.

Pada prosiding itu, Dzulkifli turut membangkitkan isu bahawa Rostam diperintah hadir ke mahkamah meskipun anak guamnya sebelum itu diambil keterangan sebagai saksi ketika kes itu disiasat SPRM.

Menurut peguam, Rostam ditangkap pada 15 Julai 2024 dan pernyataan beramarannya direkodkan sebanyak dua kali.

Ujar beliau, pada September 2024, anak guamnya sekali lagi dipanggil memberi keterangan bagi siasatan sama namun sebagai saksi.

Sebelum ini, SPRM dalam kenyataannya, memaklumkan mendapat izin untuk mendakwa seorang COO sebuah syarikat konsesi lebuh raya kerana disyaki terlibat rasuah melibatkan dua projek lebuh raya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, unsur rasuah itu dikesan melibatkan Projek Penswastaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi- Ulu Kelang bernilai lebih RM1 bilion selain Projek Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam bernilai RM4.8 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here