TAIPING – Kecuaian dipercayai menjadi punca kebakaran melibatkan 12 buah motosikal yang berlaku hadapan sebuah rumah yang dijadikan bengkel di Jalan Kampung Tanjung Medan, Layang-Layang Kiri dekat sini awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat memaklumkan, tiada unsur jenayah atau sabotaj berlaku dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, kebakaran itu dikatakan berpunca daripada pembakaran bekas telur di kawasan berhampiran yang dipercayai untuk menghalau nyamuk.
“Ia berpunca daripada pemilik bengkel berkenaan tersilap membakar bekas telur tetapi merebak dan menyebabkan bengkel beliau terbakar dan membakar sebanyak 12 buah motosikal.
“Mungkin dia bakar, lepas itu, ditinggalkan, dia tak perasan, sebab (biasanya) bengkel ada banyak minyak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina Tahun 2025 Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di Plaza Tol Taiping Selatan, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), hari ini.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.39 pagi.
Beliau berkata, motosikal yang terbakar melibatkan jenama Yamaha LC empat unit (4), Yamaha LC135 (1), Yamaha Y15 (1), Honda Wave 110 (2), Honda EX5 (2), Modenas Kriss (1) dan SRV (1).
Katanya, kebakaran itu bagaimanapun tidak melibatkan struktur dan tiada mangsa yang mengalami kecederaan. – MalaysiaGazette