KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan audit dan siasatan dalaman ke atas semua agensi kerajaan di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia bagi mengenal pasti jabatan lain yang terbabit dengan isu pindah milik tanah menerusi sistem dalam talian (e-Tanah) secara tidak sah.
Menurut beliau, langkah itu juga diambil untuk menangani isu pindah milik tanah secara menyeluruh dan memperketatkan prosedur operasi standard sistem e-Tanah.
“Kita akan laksanakan (audit) sebab timbul perkara ini (isu pindah milik secara tidak sah).
“Kita terima saranan (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial – JSJK Bukit Aman) itu dan akan semak kemungkinan melaksanakan audit di jabatan lain supaya boleh kenal pasti ada berlaku atau tidak perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Amanat Tahun Baharu 2025 Menteri Besar, di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.
Semalam Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang perlu mengendalikan audit serta siasatan dalaman untuk menentukan jika ada pejabat sama di daerah lain turut terbabit kegiatan kartel pindah milik tanah secara tidak sah.
Beliau berkata, pihak polis bersedia untuk menjalankan siasatan jika ada bukti atau maklumat mengaitkan PDT lain dengan kes jenayah tersebut.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga akan memperketatkan prosedur operasi standard melibatkan sistem e-Tanah bagi mengesan sebarang salah laku khususnya kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah.
“Selepas ini (pengguna sistem) wajib untuk mendaftarkan username supaya kita dapat mengesan dan mengenal pasti siapa yang masuk dalam sistem, bila masa serta sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ di PTD Klang dan 17 individu ditahan sejak September lepas disyaki terlibat dalam kartel tersebut membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Datuk Dr Yusri Zakariah pada 21 Jan lepas mengesahkan tujuh warga PTD Klang merupakan antara 17 penjawat awam yang ditahan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di Selangor.
Beliau berkata semua tujuh petugas terbabit sudah dipindahkan ke jabatan lain yang tidak melibatkan urusan berkaitan kerja tanah. – MalaysiaGazette