KUALA LUMPUR – Cadangan DAP untuk menjenamakan semula Jalan Hang Tuah kepada Jonker Walk 2.0 hanya boleh mengganggu-gugat sumber pendapatan peniaga Melayu yang mendominasi kawasan itu sejak sekian lama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, ia boleh mengundang kemarahan umat Islam kerana ia menjadi tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri saban tahun.
“Cadangan untuk mewujudkan Jonker Walk 2.0 sangat tidak sesuai kerana ia akan mengganggu peniaga-peniaga sedia ada di kawasan itu.
“Jalan Hang Tuah sangat sinonim dengan kawasan perniagaan yang didominasi orang Melayu. Jangan cuba ganggu-gugat kawasan ini atau cuba cetuskan konflik dalam kalangan rakyat.
“Akhirnya kamu sendiri sebagai kerajaan tidak boleh selesaikan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong mencadangkan Jalan Hang Tuah, Melaka dijenamakan semula sebagai Jalan Jonker Walk 2.0.
Chee Leong berkata, cadangan itu bertujuan untuk menarik kedatangan pelancong khususnya ketika sambutan Tahun Baharu Cina, Rabu ini.
Katanya, kawasan itu berpotensi merancakkan ekonomi peniaga dan masyarakat setempat kerana mempunyai ruang siar kaki yang lebih luas berbanding Jonker Walk sedia ada.
Dalam pada itu, Dr Aleef menyifatkan cadangan itu sebagai tidak masuk akal dan kurang cerdik kerana ia dibuat secara terburu-buru.
“Saya menentang sekerasnya idea bodoh dan mengarut ADUN Kota Laksamana kerana Jalan Hang Tuah adalah kawasan utama bagi peniaga-peniaga Melayu.
“Pertama kali saya dengar idea sedangkal begini, seolah-olah beliau tidak teliti dahulu sebelum memberi cadangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette