KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyambut baik ketetapan baharu berhubung pelaksanaan pertukaran petugas kaunter yang berkhidmat melebihi lima tahun.
Menurut JIM, agensi itu akan meneruskan pelaksanaan pertukaran atau pusingan kerja kepada pegawai yang telah berkhidmat di sesuatu jawatan selama lima tahun dan ke atas mengikut ketetapan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2004 –
Panduan Pertukaran Pegawai Awam dan Pekeliling Imigresen Malaysia Terhad Bil. 1 Tahun 2021 – Panduan Penempatan dan Pertukaran Pegawai dan Kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Untuk rekod, sehingga 31 Disember 2024, JIM telah mencapai kadar pusingan kerja sebanyak 97.94%, iaitu 3,178 pegawai sama ada telah bertukar atau menjalani pusingan tempat kerja di seluruh negara.
“Pusingan kerja memang merupakan salah satu fokus utama JIM dan dilaksanakan secara berterusan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, JIM yakin pelaksanaan langkah ini dapat mengatasi masalah salah guna kuasa dan isu integriti, selain memberi peluang kepada pegawai untuk menggalas tugas dan tanggungjawab baharu, sekali gus meningkatkan kemahiran dan
pengetahuan mereka.
Di samping itu, tambah kenyataan itu, agensi tersebut memandang serius dan tidak berkompromi dengan sebarang
pelanggaran integriti oleh pegawainya.
Katanya, sepanjang 2022 hingga 2024, seramai 241
pegawai dikenakan tindakan tatatertib dan 46 orang telah dikenakan tindakan buang kerja.
Jelasnya, jabatan ini sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan, sama ada warga Malaysia mahupun warga asing. – MalaysiaGazette