Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli

KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 22,252 notis dalam tempoh seminggu pelaksanaan Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 di seluruh negara.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, ia membabitkan pelbagai kesalahan dikenal pasti bagi kenderaan dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kaedah di bawahnya.

“Statistik tersebut adalah merujuk kepada 100,534 buah kenderaan yang telah diperiksa sepanjang tempoh tersebut di mana sebanyak 223 kenderaan telah disita dalam tempoh seminggu Operasi bermula 20 Januari lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan kerja ke Pejabat JPJ Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JPJ Negeri Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.

Notis kesalahan telah dikeluarkan kepada pemandu dan kenderaan membabitkan motosikal (9,507), kenderaan barangan (6,363), motokar (4,888), lain-lain kenderaan persendirian (1,058), kenderaan perkhidmatan awam (302), lain-lain kenderaan (93) dan kenderaan asing (41).

“Menerusi op tersebut juga, pihak JPJ memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama melibatkan antaranya tiada lesen memandu kompeten (CDL), lebih muatan, tidak memakai topi keledar atau tali pinggang keselamatan, tidak mematuhi isyarat lampu merah dan menggunakan telefon bimbit,” tambahnya.

Menerusi Pemantauan dan Pemeriksaan Audit Operasi Perkhidmatan Bas di Depoh dan Terminal pula, Aedy berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas sejumlah 2,604 kenderaan.

Beliau berkata, sebanyak 60 buah kenderaan telah diambil tindakan dan pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 521 slip pemeriksaan bas.

Sementara itu, beliau memberitahu Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan juga telah dikuatkuasakan selama empat hari sempena perayaan Tahun Baru Cina bermula hari ini dan esok serta pada 1 dan 2 Februari nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here