KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melahirkan rasa kecewa susulan tuduhan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu terhadap dirinya berhubung buku tulisannya berjudul Becoming Hannah: A Personal Journey.
Malah pemimpin DAP yang juga Ahli Parlimen Segambut itu menyifatkan tuduhan tesebut sebagai suatu yang tidak masuk akal dan fitnah yang dikitar semula sejak 2017.
Katanya, ia sesuatu yang sangat membosankan kerana fitnah yang dimainkan adalah isu sama dan bertaburan di media sosial setiap hari.
“Jadi, saya nasihatkan kepada semua yang gunakan media sosial, tengok Youtube, tengok video semua kena selalu buat kajian check fakta sama ada betul atau tidak.
“Kalau tidak memang setiap hari kita berhadapan dengan isu yang sama. Buku saya sudah 2014 siar, sudah berapa tahun dah, dan saya ini ahli politik public figure…mana-mana saya pergi ada SB (unit cawangan khas) ada polis.
“Kalau saya ada murtadkan orang Islam tak mungkin polis tak tahu. Adakah saya boleh berdiri di sini setelah 10 tahun…ini semua fitnah tak masuk akal,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas sesi penyerahan projek naik taraf kemudahan sukan Wilayah Persekutuan: Gelanggang Bola Keranjang di sini hari ini.
Sebelum ini Hannah menerima banyak kritikan susulan terlalu banyak kritikan terutamanya daripada pimpinan Pas berhubung isu buku berkenaan.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, hanya orang yang mengenali dirinya tahu bagaimana beliau bekerja dan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Katanya, beliau bertemu dengan ramai orang Islam dan rata-rata mereka tidak termakan dengan fitnah yang disebarkan.
Dalam pada itu, Hannah menegaskan, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul pada 31 Disember lalu berhubung fitnah yang terlalu banyak disebarkan oleh pihak terbabit.
Jelas beliau, laporan dibuat kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya terancam oleh pihak terbabit yang terlalu ekstrem dan percaya dengan dakyah yang disebarkan.
Ditanya sama ada beliau ada menerima sebarang ancaman berhubung perkara itu, Hannah berkata, setakat ini belum ada namun berdasarkan komen-komen yang terdapat di media sosial ia memang sangat teruk
“Saya nak budaya macam ini dihentikan kerana negara kita negara aman dan saya rasa kalau kita nak bertarung dalam gelanggang politik, kita gunakan polisi dan bukan macam fitnah isu agama dan kaum seperti ini,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku terbitan Hannah disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah difailkan oleh Hannah terhadap Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan dibuat bekas Ketua Polis Negara itu pada satu forum di Universiti Teknologi MARA empat tahun lalu.
Saman itu difailkan pada 3 Julai 2020 mendakwa Musa dengan niat jahat membuat kenyataan tidak benar terhadap Yeoh pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’
Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah menulis buku bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara. – MalaysiaGazette