KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sedang menjalankan satu kajian menyeluruh berhubung keperluan naik taraf dan baik pulih 10,616 kelas taman bimbingan kanak-kanak (tabika) Kemas di seluruh negara.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, kajian itu selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya jabatan tersebut menyediakan memorandum Jemaah Menteri berkenaan perkara itu.
Menurutnya, laporan yang sedang disediakan akan bersifat komprehensif, termasuk aspek dasar.
“Ini termasuk isu pemilikan tanah, status bangunan menumpang; terutamanya di 4,268 premis yang menumpang di bangunan awam seperti balai raya serta kaedah perolehan bangunan komersial yang sesuai untuk dijadikan premis tabika.
“Selain itu, 470 premis yang disewa juga akan dikaji bagi memastikan penyelesaian jangka panjang yang lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga berkata, perkara itu diharap akan dapat diselesaikan secara menyeluruh demi memastikan pendidikan awal kanak-kanak, khususnya di luar bandar, lebih teratur dan terjamin.
Dalam pada itu, Mohd Hanafiah berkata, pihaknya turut memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan pedalaman seperti penyediaan tenaga elektrik dan sumber air.
“Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik seperti panel solar, tangki tadahan hujan atau sumber air bawah tanah bagi memastikan keperluan asas ini dapat dipenuhi dengan berkesan.
“Kemas komited bukan sahaja dalam penyediaan kemudahan fizikal yang lebih kondusif, tetapi yang lebih penting, memastikan anak-anak luar bandar mendapat peluang pendidikan awal yang berkualiti, setanding dengan pendidikan di kawasan bandar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette