Peguam bagi Najib Razak, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah bercakap pada Townhall Mencari Kebenaran di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 1 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menetapkan keputusan ganti rugi yang perlu dibayar oleh Badan Peguam dan tiga yang lain terhadap peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 14 April depan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu pada prosiding saman fitnah Muhammad Shafee terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V.C. George

Muhammad Shafee mendakwa Tommy yang disokong oleh George telah menerbit dan menyerahkan usul untuk dibincangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Peguam 14 Mac 2015.

Usul itu menyebut peranan Muhammad Shafee sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan dengan mendakwa beliau telah melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang peguam daripada mencari publisiti untuk diri sendiri.

Usul itu turut mendakwa Muhammad Shafee terlibat dalam jelajah di seluruh negara bagi menghina banduan dan menarik perhatian terhadap peranannya dalam sabitan ke atas Anwar.

Pada 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah yang difailkan Muhammad Shafee terhadap responden.

Pada 19 Ogos 2020, Muhammad Shafee beroleh kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman fitnah tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast