KUALA LUMPUR – Shamsul Kahar & Co (ASKCO) dan Permodalan Kedah Bhd. (PKB) bersama dua lagi entiti menjalinkan kerjasama strategik bagi bagi memacu kemajuan ekonomi Malaysia bagi jangka panjang.
Ia turut membabitkan Corporate Mind Group dan Komisioner Jakarta Business School (JBS), Tan Sri Dr Nordin Kardi memperkukuhkan rangka kerja perundangan serta memupuk pakatan strategik dalam pembangunan usahawan di Malaysia.
Ketua Rakan Kongsi ASKCO, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar berkata, kerjasama turut menyasarkan 700 usahawan PKS menjelang akhir tahun ini menyertai 17 program sokongan yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.
“Sekarang banyak PKS tidak memiliki perancangan jangka panjang dalam perniagaan dan seakan-akan terhenti setakat memperoleh jualan.
“Justeru, kita mahu membuka potensi PKS dalam sektor teknologi, pertanian peruncitan, perkhidmatan dan syarikat pemula niaga.
“Kerjasama ini menyasarkan lima syarikat menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun depan di mana sasaran jangka pendek adalah menyokong 500 PKS menjelang suku ketiga tahun ini,” katanya pada majlis memeterai kerjasama strategik di sini baru-baru ini.
Muhamad Akmal menambah, kerjasama dengan PKB menjadi permulaan hubungan strategik antara ASKCO dan Corporate Mind Group dengan PKB yang memberikan tumpuan dalam memacu inisiatif strategik untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan inovasi.
“Usaha sama ini akan membantu PKB menarik pelaburan langsung asing (FDI) dengan menyediakan kepakaran nasihat dalam isu berkaitan tanah dan hartanah, serta menyokong perniagaan tempatan dalam meneroka pasaran antarabangsa.
“ASKCO dan Corporate Mind Group bersama PKB menerajui pembangunan keusahawanan dan strategi pemulihan perniagaan termasuk tetapi tidak terhad kepada melaksanakan kerangka modal demi mencapai hasil yang memberi impak dan berkekalan,” katanya.
Muhammad Akmal memberitahu, melalui kerjasama dengan JBS, ASKCO bersama Corporate Mind Group, mereka menyediakan perkhidmatan nasihat strategik serta memudahkan peluang jaringan perniagaan bagi usahawan yang ingin melebarkan sayap ke Indonesia. – MalaysiaGazette