KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming digesa supaya memahami sensitiviti penjualan arak di kawasan penduduk majoriti penganut Islam.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sebagai seorang menteri, Kor Ming tidak seharusnya mudah untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara tersebut.
Jelas beliau, untuk menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum perkara asas adalah menjaga sensitiviti antara masyarakat terlebih dahulu.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu, cadangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu tidak menghalang untuk masyarakat bukan Islam daripada pengambilan arak.
Katanya, mereka boleh membuat pembelian di kawasan lain di sekitar Ipoh yang masih menjual minuman memabukkan itu.
“Yang dicadangkan oleh MBI adalah tiada penjualan arak dikawasan majoritinya muslim, hampir 100 peratus muslim dan bukan menghalang orang bukan muslim nak minum arak.
“Tetapi kalau nak beli dan minum bukan di kawasan majoritinya muslim dan kawasan yang dilarang jual arak ni dengan bandar ipoh yang dibenarkan penjualan arak bukannya jauh sangat
“Sebab arak ini adalah perkara yang sensitif untuk orang muslim, jadi tiada keperluan untuk menjual di kawasan yang majoritinya adalah muslim,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memastikan kes kemalangan disebabkan pemandu mabuk berkurang dan bukan sebaliknya.
“Saya nak tanya juga, apa langkah pihak kerajaan untuk kurangkan kes kemalangan akibat pemandu mabuk ni ya?” soal Dr. Muhamad Akmal.
Kor Ming sebelum ini menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, ketetapan berkenaan bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.
“Dalam hal ini kita nak jaga keharmonian semua. Jadi bagi saya, kita akan kekalkan status quo waktu ini kerana tiada isu pun. Mereka yang tidak boleh minum, jangan belilah dan kita pun tidak boleh larang orang yang boleh minum kerana itu hak dia.
“Jangan lupa juga bahawa premis yang menjual (minuman keras) di mana-mana kawasan pun semuanya ada lesen dan perniagaan itu bukan perniagaan yang tidak sah di sisi undang-undang,” kata Kor Ming. – MalaysiaGazette