KUALA LUMPUR – Rancangan kumpulan pesawah yang ingin menghantar memorandum berhubung isu kenaikan harga lantai padi di Bangunan Perdana Putra hari ini tidak kena pada waktunya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ini kerana ia akan bertembung dengan kunjungan Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto yang bakal mengadakan lawatan negara ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Justeru, beliau meminta agar golongan pesawah itu sebaik-baiknya tidak mengganggu lawatan rasmi pemimpin negara jiran itu, sebaliknya menetapkan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu
“Saya ingin sebut ada cadangan dari beberapa pesawah dari utara datang ke Putrajaya esok (hari ini) dan kita ada tamu negara, Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto dalam lawatan rasmi atas undang Yang di-Pertuan Agong dan saya, ada perjumpaan berikutnya di Putrajaya.
“Saya tidak menghalang hendak ada pertemuan, serah memo kepada Menteri Pertanian (dan Keterjaminan Makanan), silakan. Tetapi buat urusan tetapkan masa yang sesuai dan saya tidak setuju sama sekali untuk diadakan apa jua perhimpunan mengganggu perjalanan dan urusan lawatan rasmi negara, Presiden Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri pada Syarahan Perdana Professor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini.
Mengulas lanjut, Anwar memberi jaminan Mohamad sedia untuk mendengar dan menemui serta mengambil memorandum tetapi jangan mengganggu majlis negara yang melibatkan negara sahabat.
“Itu peringatan dan saya minta Ketua Polis Negara bantu mengawal tetapi sebaiknya meminta dielakkan.
“Kita kalau tidak mahu jumpa, hendak bantah bolehlah. Ini kita boleh hendak jumpa dan hendak ada perhimpunan aman silakan tetapi jangan ambil kesempatan apa lagi majlis rasmi negara melibatkan negara sahabat,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersikap terbuka sekali gus tidak menghalang mana-mana kumpulan pesawah yang ingin menghantar memorandum berhubung isu kenaikan harga lantai padi.
Mengulas dakwaan 1,000 pesawah dijangka menghantar memorandum isu berkenaan ke Bangunan Perdana Putra esok, Mohamad Sabu, berkata ia adalah hak pihak terbabit untuk berbuat demikian.
Beliau berkata demikia selepas Konvensyen Nasional AMANAH 2024, di sini, hari ini. – MalaysiaGazette