Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berucap ketika hadir pada Sesi Penyerahan Projek Naik Taraf Kemudahan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Gelanggang Bola Keranjang, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tetap berada dalam radar Jawatankuasa Road to Gold (RTG) meskipun sebelum ini pernah menolak tawaran untuk menyertai program itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan pemain nombor lapan dunia itu bagi membincangkan mengenai bentuk sokongan yang boleh diberikan kepadanya dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Selepas Olimpik Paris 2024 kami bincang bagaimana kami boleh memberikan sistem sokongan yang lebih baik kepada Zii Jia termasuklah pemain profesional lain yang tidak berada dalam RTG.

“Zii Jia tidak berada dalam RTG tetapi untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028 kita mahu bincang…ramai pemain profesional sekarang menunjukkan prestasi yang baik seperti Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki).

“Jadi, pertemuan itu nanti kami akan bincang mengenai potensi kerjasama dengan RTG dan bagaimana RTG boleh beri sokongan kepada pemain profesional yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Penyerahan Projek Naik Taraf Kemudahan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Hannah sebelum ini menawarkan tempat untuk Sze Fei-Izzuddin dalam program RTG selepas gandingan itu menunjukkan peningkatan prestasi yang positif sehingga bergelar pasangan nombor dua dunia selain muncul juara Terbuka India baru-baru ini.

Kedua-dua pemain itu memberikan reaksi positif terhadap tawaran berkenaan dan sedia bertemu Hannah bagi membincangkan lebih lanjut mengenainya.

Dalam pada itu, Hannah memaklumkan, pihaknya akan melakukan rombakan dalam jawatankuasa RTG selain sudah menyusun beberapa sukan yang berlaku perubahan daripada segi kedudukan ranking 10 teratas.

“Ada perubahan (jawatankuasa RTG) dan akan. diumumkan Februari nanti selepas Tahun Baru Cina, selepas itu saya akan ada jawatankuasa baharu.

“Kita juga sudah menyusun sukan-sukan yang ada perubahan dalam (ranking) 10 teratas,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here