Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er.

KUALA LUMPUR – MCA menggesa kerajaan mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum mengumumkan mana-mana dasar baharu bagi mengelak timbulnya kekeliruan dan kemarahan rakyat.

Menurut Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er, tindakan itu sangat membimbangkan termasuk mengundang rasa tidak yakin para pelabur terhadap Malaysia.

Kata beliau, dalam tempoh beberapa hari sahaja, kerajaan dilaporkan menarik balik dua keputusan, iaitu pemberian diskaun tol 50 peratus bagi perayaan Tahun Baharu Cina dan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi kakitangan kesihatan awam.

“Pusingan U seperti apa yang dilakukan kerajaan ini tidaklah menjadi satu kesalahan besar. Ia membuktikan kerajaan mendengar denyut nadi rakyat dan ada keazaman politik untuk mengakui kesilapan.

“Malah MCA pernah mengalu-alukan keputusan kerajaan pada awal tahun lepas untuk terus mengecualikan pengamal perubatan tradisional daripada dikenakan cukai perkhidmatan lapan peratus apabila kerajaan berhasrat mengutip cukai ini pada awalnya.

“Namun begitu, sudah terlalu banyak pusingan U dibuat sehingga memberi gambaran seolah-olah kerajaan terlalu ghairah menggubal dasar baharu tanpa mempedulikan pandangan dan kepentingan rakyat menerusi libat urus sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Quin Er,  keyakinan umum terjejas terutamanya dalam aspek kecekapan tatakelola kerajaan dan dikhuatiri akan meninggalkan kesan negatif ke atas pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan sosial rakyat.

“Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad turut dilaporkan mengakui bahawa pengumuman awal projek WBB telah gagal mengambil kira pandangan semua pihak.

“Ini secara langsung membuktikan kerajaan tidak mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu, sehingga membawa kepada maklum balas negatif dalam kalangan rakyat serta pihak berkepentingan,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Quin Er, kerajaan wajar belajar daripada kesilapan mereka semasa di barisan pembangkang di mana mereka telah menjanjikan pemansuhan tol, menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan banyak lagi.

Namun selepas menjadi kerajaan kesemua janji itu gagal dilaksanakan.

Justeru itu, kerajaan digesa merangkakan dasar yang praktikal dan strategik, yang mampu dicapai dan memanfaatkan semua, bukannya mengumumkan dasar sesuka hati semata-mata demi meraih populariti tanpa mengambil kira pandangan pihak lain.

“Sudah hampir dua tahun menjadi kerajaan, rakyat mengharapkan kerajaan Madani terutama dari Pakatan Harapan (PH) belajar untuk menjadi pembuat dasar yang bijak.

“MCA sebagai parti yang menyokong kerajaan hari ini akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang walaupun sering dikecam oleh pemimpin Pakatan Harapan sendiri terutama parti DAP.

“Kami yakin serta percaya tanpa semak dan imbang yang efektif seperti yang dilakukan MCA ini, mana mungkin kerajaan terpaksa membuat pusingan U dalam banyak dasar yang dirangka tanpa mengambil kira kepentingan negara dan rakyat,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here