PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberikan jaminan akan menggerakkan libat urus berkaitan tuntutan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysai (PeSAWAH) yang dibuat di pekarangan kementeriannya, hari ini.
Mohamad berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Berkenaan memorandum (PeSAWAH) ke PM, saya sebagai menteri akan ambik tanggungjawab turun ke KADA, MADA dan tempat-tempat lain yang berkaitan.
“Saya akan mengadakan libat urus berterusan dengan penanam padi,” katanya menerusi pesanan aplikasi WhatsApp kepada media, hari ini.
Khalid Abdul Samad adalah Pengerusi KADA manakala Datuk Dr Ismail Salleh adalah Pengerusi MADA.
Terdahulu, kumpulan itu membuat dua tuntutan untuk dipertimbang kerajaan termasuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 setan kepada RM1,800.
Menurut pengerusinya Abdul Rashid Yob, tuntutan itu disenarai PeSAWAH melalui memorandum yang diserahkan ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pertanian dan Kerjaminan Makanan (KPKM) hari ini, dengan satu lagi isu membabitkan bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.
Abdul Rashid berkata, harga lantai ketika ini sudah tidak relevan berikutan kenaikan kos operasi berkaitan diesel dan benih padi.
Mengenai RUU Kualiti Benih Tanaman yang berkemungkinan dibentangkan di Parlimen dalam sesi akan datang, katanya, ia dibuat tanpa sebarang perundingan dengan petani.
Beliau turut memaklumkan perdana menteri juga akan melakukan perbincangan khas bersama pihak kementerian terlibat. – MalaysiaGazette