KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) merancang menubuhkan Pasukan Tindakan Khas bagi mambantu menangani kes kritikal dan kes rentas negeri.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya akan berbincang mengenai aspek fungsi dan tanggungjawab pasukan tersebut sebelum mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun ini.
“Saya mengambil inspirasi daripada JPJ Pahang yang telah membuat demonstrasi berkaitan satu pasukan khas membantu pasukan penguatkuasaan JPJ Pahang hari ini.
“Jadi kami akan berbincang terlebih dahulu dan akan mencadangkan kepada pihak JPA supaya pasukan ini boleh ditubuhkan dianggotai oleh anggota-anggota JPJ yang kompeten, yang diberi latihan berbeza daripada latihan anggota penguatkuasa yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan kerja ke Pejabat JPJ Pahang, di sini, hari ini.
Turut dihadiri Pengarah JPJ Negeri, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.
Terdahulu, ketibaan beliau di JPJ Pahang dimulakan dengan acara tabik hormat dan pemeriksaan barisan sebelum dipertontonkan dengan persembahan anggota daripada bahagian penguatkuasa. – MalaysiaGazette