KUALA LUMPUR – Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2024 akan dilaksanakan pada 3 hingga 6 Februari serta 10, 12 dan 13 Februari ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, seramai 4,507 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM 2024 di 132 buah pusat peperiksaan seluruh negara.
Seramai 926 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan STAM Tahun 2024 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan STAM Tahun 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my,” katanya dalam kenyataan.
Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
Calon juga perlu mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM 2024.
“KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan STAM 2024 berlangsung.
“KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan,” katanya.
Calon juga dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.
“KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan STAM Tahun 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur. KPM mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.” katanya.- MalaysiaGazette