Kumar beramah mesra dengan pengguna jalan raya selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya PDRM Johor bersama Perkeso Johor sempena Op Selamat 23 di Plaza Tol Kempas, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 49 lokasi titik panas (hotspot) iaitu lokasi yang kerap berlakunya kesesakan dikenal pasti menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, daripada jumlah itu, dua lokasi paling menjadi tumpuan adalah sempadan negara iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.

“Selain itu kita juga mengesan sebanyak 31 lokasi titik hitam (blackspot) iaitu lokasi kerap berlakunya kemalangan yang dijadikan fokus utama untuk kali ini.

“Justeru, Polis Johor akan mengatur gerak seramai 1,767 orang melibatkan 208 pegawai dan 1,559 anggota meliputi semua elemen termasuk kekuatan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor yang berjumlah 57 pegawai dan 579 anggota.

“Polis juga akan meneruskan kolaborasi dengan lain-lain agensi melalui Emergency Response Team (ERT) seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Berhad, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya PDRM Johor bersama Perkeso Johor sempena Op Selamat 23 di Plaza Tol Kempas, di sini hari ini.

Op Selamat 23 akan bermula esok hingga 2 Februari ini bersempena cuti perayaan TBC.

Kumar berkata, Op Selamat pada tahun lalu menyaksikan sebanyak 1,187 kemalangan direkodkan, menurun sebanyak 29.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Namun katanya, jumlah saman yang dikeluarkan meningkatkan lebih 100 peratus iaitu sebanyak 23, 386 saman pada Op Selamat tahun lalu berbanding 11,690 pada tahun sebelumnya.

“Operasi kali ini menfokuskan pencegahan jenayah pecah rumah, meminimumkan kadar kemalangan jalan raya berkonsepkan penguatkuasaan menyeluruh dan advokasi serta memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang musim perayaan.

“Penguatkuasaan diberikan tumpuan terhadap enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu,” ujarnya.

Masyarakat diminta melaporkan pergerakan cuti kepada pihak polis sebelum pulang ke kampung melalui Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh diperolehi di balai-balai berhampiran atau menerusi aplikasi Volunteer SmartPhone Patrol (VSP).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here