KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyindir pelaburan syarikat Malaysia di United Kingdom (UK) bernilai berbilion dolar.
Menurut beliau, membantu negara kaya seperti UK dan Singapura merupakan amalan Malaysia.
“Saya alu-alukan pelaburan berbillion ringgit supaya peluang kerja seramai 30,000 diwujud di UK. Ini memang cara Malaysia. Kita selalu bantu orang yang lebih kaya dari kita.
“Lihat Singapura. Kita jual 250,000,000 gelen air mentah dengan harga 3 sen bagi 1000 gelen supaya Singapura boleh jual air yang ditapis dengan RM36 bagi 1000 gelen. Tiap tahun Singapura untung tiga billion ringgit,” katanya dalam hantaran media sosialnya hari ini.
Selain UK dan Singapura, Dr. Mahathir berkata, Malaysia turut membantu ekonomi Amerika Syarikat (AS) melalui pembelian bon dolar.
Negara maju itu kemudian menggunakan kekayaan yang diperoleh untuk membina senjata dan dijual serta diberi percuma kepada Israel.
“Kita juga melabur di AS dengan membeli Dollar Bond. Ini samalah dengan memberi pinjaman kepada Amerika. Dengan duit itu AS boleh buat senjata untuk dijual di seluruh dunia termasuk kepada Israel.
“Jika Israel tidak mampu bayar, Kerajaan AS akan beli senjata dari pembuat senjata AS untuk dihadiah percuma kepada Israel,” katanya.
Menurut Dr. Mahathir, beliau tidak nampak pelaburan yang dibuat oleh Malaysia dibalas oleh negara terbabit termasuk UK.
“Kita bantu AS sebab dia kaya. Itu dasar kita. Konon terdapat kemungkinan UK labur di Malaysia. Itu kemungkinan! Kita belum nampak pelaburan UK. Mungkin tersembunyi seperti lain kenyataan tiap kali lawatan ke luar negara. Kita tunggu Belgium dan Kesatuan Eropah,” kata Dr. Mahathir.
Media sebelum ini melaporkan, firma Malaysia, YTL Group mengumumkan rancangan untuk melabur sebanyak £4 bilion (RM21.96 bilion) di UK dalam tempoh lima tahun akan datang.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak £2 bilion akan diperuntukkan untuk pembangunan bandar baharu Brabazon di Bristol yang merupakan bandar terbesar di barat daya England.
Manakala bakinya akan dilaburkan dalam perniagaan YTL di negara itu.
Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan YTL UK, Colin Skellett, pelaburan tersebut yang merangkumi bandar baharu paling pintar akan turut menyediakan lebih 30,000 pekerjaan di seluruh UK.-MalaysiaGazette